Polis tumpaskan kegiatan curi sawit di Ladang SALCRA

SARATOK, 7 November – Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi buah sawit di Ladang Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Lubok Renit, Temudok di Saratok.

Ia susulan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun di sebuah rumah tidak bernombor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang anggota polis bantuan SALCRA, Rabu lepas.

“Semasa tangkapan, polis merampas resit baucar bayaran jualan buah sawit berjumlah lebih RM800 atas nama suspek sebagai penerima, dua tandan buah sawit dan besi dipercayai digunakan untuk mengangkat buah sawit.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda juga disita. Keputusan saringan air kencing suspek didapati positif dadah, selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah melakukan kegiatan tersebut beberapa kali di ladang berkenaan bersama rakannya.

“Buah sawit yang dicuri dikatakan dijual bagi membeli bekalan dadah,” katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.