Perlombongan Bitcoin : Warga emas ditahan, disyaki curi arus elektrik

BALIK PULAU, 7 Disember – Seorang warga emas berusia 60 tahun ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan mencuri arus elektrik bagi perlombongan bitcoin di beberapa premis sekitar Jalan Ayer Putih, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Anuwal Ab Wahab ketika mengesahkan penahanan itu berkata serbuan dijalankan sepasukan anggota polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), mendapati premis-premis terbabit dilengkapi mesin perlombongan Bitcoin menggunakan sumber elektrik melalui sambungan tidak sah.

“Hasil semakan lanjut daripada TNB mendapati anggaran kerugian akibat kecurian itu mencecah RM22,744.

“Turut dirampas 30 mesin perlombongan Bitcoin, satu kotak berisi dan satu beg mengandungi pelbagai jenis wayar dan satu unit modem TP-Link,”katanya.

Pihak polis juga sedang meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengesan mana-mana individu lain yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Hey there! Ask me anything!