Pemilik kilang ais didenda lakukan sambungan air tanpa kebenaran

KOTA BHARU, 17 November – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendenda seorang pemilik kilang ais sebanyak RM50,000 atas pertuduhan melakukan penyambungan paip air tanpa kebenaran di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Jun 2018.

Denda ditetapkan Hakim Nik Habri Muhamad apabila tertuduh, Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 33 tahun, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yusrid sebagai penghuni di tapak kilang berkenaan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke paip air tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Tertuduh melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, pada 7 Jun 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 123(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Suhaidariah Ahmad manakala Mohd Yusrid tidak diwakili peguam.

Dalam pendakwaan, Suhaidariah memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kes berkenaan adalah serius malah orang kena saman (OKS) merupakan pemilik tunggal kilang dan melakukan penyambungan haram selama 17 bulan.

Menurut beliau, disebabkan tindakan berkenaan, AKSB terpaksa menanggung kerugian lebih RM41,000 dan tindakan OKS turut menyumbang kepada berlaku peningkatan peratusan air tidak terhasil (NRW) di Kelantan.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM50,000 kepada OKS dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama 12 bulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.