Lelaki direman selepas kejar-mengejar dengan polis di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 22 November – Seorang lelaki berusia 26 tahun direman selama empat hari, selepas ditahan ketika dikejar polis di Jalan Persiaran South Key, Johor Bahru, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Raub Selamat memaklumkan, suspek sebelum itu bertindak memandu melawan arus ketika cuba ditahan polis.

“Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan turut dilanggar, sebelum kereta suspek melanggar penghadang jalan dan terbabas. Pemeriksaan menjumpai sebilah parang panjang di dalam kereta.

“Suspek juga mempunyai 23 rekod jenayah dan dadah serta positif methamphetamine,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan aksi kejar-mengejar antara kereta polis dan kereta dipandu suspek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.