GEORGE TOWN, 21 November -Seorang guru wanita kerugian RM604,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin perjudian, baru-baru ini.
- Guru wanita berusia 57 tahun rugi RM604,000 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin perjudian.
- Dia dimasukkan ke kumpulan WhatsApp "pelaburan sentosa" oleh seorang lelaki yang mendakwa ejen pelaburan.
- Janji pulangan tinggi sehingga 350% dalam sebulan digunakan untuk meyakinkan mangsa melabur.
- Mangsa membuat 20 transaksi ke lima akaun syarikat berbeza antara 2 hingga 31 Oktober.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas pengeluaran keuntungan RM1.8 juta gagal.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dalam kenyataan berkata, guru yang berusia 57 tahun itu, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, semalam.
“Menurut guru itu, pada Ogos lepas dia telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi Whatsapp iaitu ‘pelaburan sentosa’ oleh seorang lelaki yang dikatakan sebagai ejen pelaburan berkenaan.
“Pelaburan yang ditawarkan berkonsepkan mesin judi dan menawarkan keuntungan tinggi, mangsa telah diberikan penerangan berkaitan pelaburan itu yang menjanjikan keuntungan sehingga 350 peratus dalam tempoh satu bulan daripada jumlah modal yang dilaburkan,” katanya.
Beliau berkata mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu dan telah diminta untuk melayari satu laman web, bagi pendaftaran keahlian serta melabur dalam pelaburan tersebut.
Datuk Azizee berkata ekoran percaya dengan pelaburan yang ditawarkan itu, guru wanita tersebut telah melakukan 20 kali transaksi pemindahan duit ke dalam lima akaun milik syarikat yang berbeza membabitkan nilai RM604,000 sejak 2 Oktober hingga 31 Oktober.
Beliau berkata mangsa yang menyedari telah ditipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM1.8 juta yang diperoleh dalam aplikasi yang disertainya tersebut dan kes itu disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksan iaitu tipu.