Dua rakan didakwa menyamar sebagai pegawai Imigresen

IPOH, 5 Mac – Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas dua pertuduhan menyamar sebagai pegawai Imigresen pada Februari lalu.

Bagaimanapun, M. A Sarvin Raj dan Harjit Singh Sulakhan Singh masing-masing 26 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua rakan itu didakwa secara bersama memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen kepada seorang warga asing di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya,Chemor Ipoh, kira-kira pukul 3 petang pada 25 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor pada 25 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama-sama didapati berpura-pura memegang jawatan penjawat awam dengan menyamar sebagai pegawai imigresen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampar, Pekan Bharu, Ipoh kira-kira pukul 10.30 pagi pada 26 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak 1-ribu 800 ringgit bagi pertuduhan pertama dan 1-ribu 400 ringgit bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah turut menetapkan 4 April depan sebagai sebutan semula kes.

Share
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.