JOHOR BAHRU, 6 Disember – Seorang akauntan wanita berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM916,700 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh 24 jam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata mangsa yang berusia 55 tahun tertarik dengan tawaran keuntungan antara 30 hingga 40 peratus, dan telah membuat 35 transaksi ke empat akaun bank tempatan antara 2 Oktober hingga 11 November lalu.
“Mangsa turut dimaklumkan keuntungan akan dipaparkan dalam aplikasi pelaburan RGFO Maxx, dan semakan mangsa mendapati kononnya jumlah keuntungan mencecah RM5.43 juta.
“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran, akaun aplikasi tersebut didapati disekat, dan mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.