KUALA LUMPUR, 3 Disember – Sebuah kelainan bakal menghiasi slot RTM TV2 malam ini, menerusi tayangan Childhood Dream.
Naskhah itu menampilkan seorang pelakon Melayu yang berlakon hampir 90 peratus dalam bahasa Mandarin merupakan sesuatu yang jarang dilihat dalam industri tempatan.
Pelakon, Nur Atikah Nadhirah Ahmad Ikram berkata, kemampuan bertutur dalam bahasa tersebut sejak kecil menjadi faktor utama beliau menerima cabaran membawa watak itu.
“Saya memang fasih berbahasa Mandarin, jadi apabila dapat tahu cerita ini memerlukan 90 peratus dialog dalam Mandarin, saya rasa kenapa tidak saya cuba. Tambahan pula, cerita ini sangat unik kerana melibatkan tiga bangsa Cina, India dan Melayu.
“Semuanya bertutur dalam bahasa Mandarin. Konsep dan jalan ceritanya menarik dan saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam lakonan, terutama kerana jarang kita lihat pelakon Melayu berlakon sepenuhnya dalam bahasa Mandarin,” katanya.
TeleFilem Childhood Dream mengisahkan tiga sahabat berbangsa Melayu, Cina dan India yang mengejar impian membuka kedai roti sejak kecil.
Sepanjang perjalanan itu, mereka menghadapi cabaran seperti kekangan kewangan, perselisihan faham dan konflik, namun persahabatan mereka tetap teruji dan erat.