PUTRAJAYA, 21 November – Pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan pada suku ketiga 2025 dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh meningkat kepada 70.9 peratus, permintaan buruh mencecah 9.16 juta jawatan.
- Pasaran buruh kekal berdaya tahan dengan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat, menyokong permintaan pekerjaan yang tinggi.
- Produktiviti pekerja meningkat kepada RM45.1 sejam, selari dengan permintaan buruh lebih tinggi dan penciptaan jawatan baharu.
- Kadar pengangguran menurun kepada 3.0% dan tenaga buruh serta pekerjaan bertambah, menyumbang kepada ketahanan ekonomi.
Manakala, produktiviti pekerja bertambah kepada RM45.1 per jam bekerja.
Menurut Sorotan Pasaran Buruh yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat, pertumbuhan ekonomi kekal stabil pada 5.2 peratus, di sokong perbelanjaan isi rumah serta keadaan pasaran buruh yang positif.
Sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing berkembang 4.1 peratus dan 11.8 peratus, sementara sektor perlombongan turut pulih dengan peningkatan pengeluaran minyak dan gas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, tenaga buruh negara meningkat kepada 17.49 juta orang, dengan penduduk bekerja bertambah kepada 16.97 juta orang.
Kadar pengangguran menurun kepada 3.0 peratus, bersamaan 519.9 ribu orang.
Beliau turut menyatakan, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa berkurang kepada 133.3 ribu orang, manakala produktiviti buruh terus meningkat sejajar permintaan buruh yang lebih tinggi dan pewujudan 32.3 ribu jawatan baharu.
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir menambah, trajektori pertumbuhan yang stabil serta pemulihan perdagangan dan pelaburan serantau turut menyokong pengukuhan Ringgit, yang muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun ini.