KUALA LUMPUR, 14 November– Kejayaan Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 lebih tinggi berbanding dua suku sebelumnya mencerminkan daya tahan ekonomi negara di sebalik cabaran geoekonomi global.
- Keputusan KDNK suku ketiga 2025 menunjukkan daya tahan ekonomi negara di tengah cabaran geoekonomi global.
- Dasar fiskal dan monetari saling melengkapi, menyumbang kepada prestasi ekonomi yang lebih baik.
- Penurunan kadar OPR oleh BNM dan bantuan fiskal seperti SARA menyuntik rangsangan kepada permintaan domestik.
- Rundingan perdagangan, termasuk ART, dijangka memperkuat eksport semikonduktor dan terus menyokong pertumbuhan.
- Momentum ekonomi disokong oleh perbelanjaan pengguna, pelancongan masuk, dan kecairan yang mencukupi dalam sistem perbankan.
Menurut Profesor Madya di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, prestasi luar jangka itu merupakan hasil kejayaan pelaksanaan dasar fiskal dan monetari yang saling melengkapi.
“Seperti Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menurunkan kadar OPR pada 2.75% beberapa bulan lalu. Begitu juga pada masa yang sama juga kerajaan menghadapi dasar fiskal telah melaksanakan pelbagai usaha terutamanya mengadakan bantuan SARA dan juga pelbagai bantuan menyuntik ekonomi domestik supaya terus berkembang baik”, katanya.
Tambahnya, rundingan kerajaan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam menangani isu tarif eksport, turut memberi kesan positif kepada sektor eksport negara.

Profesor Madya di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
“Sektor eksport negara menunjukkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga dan dengan hasil rundingan kerajaan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), sektor eksport, khususnya semikonduktor, dijangka terus meningkat pada suku keempat dan seterusnya memberi kesan positif berterusan kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya Malaysia berupaya mengekalkan momentum ekonomi yang positif sehingga tahun hadapan, disokong dasar-dasar yang memacu pertumbuhan.
Ini termasuk merancakkan aktiviti ekonomi domestik menerusi perbelanjaan pengguna yang berterusan dan menggalakkan kemasukan pelancong asing yang dapat menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit, di samping memastikan kecairan tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan.