Berjaya Air terima dua pesawat ATR 72-600 tahun 2026

KUALA LUMPUR, 12 Disember – Berjaya Air Sdn Bhd, syarikat penerbangan di bawah Berjaya Land Bhd, akan menerima dua pesawat baharu ATR 72-600 pada tahun hadapan, melibatkan pelaburan berjumlah AS$56 juta.

Pengurus Besar Berjaya Air, Mohd Amri Mohd Akib, berkata penambahan pesawat itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkaya pengalaman perjalanan dengan menawarkan produk yang menggabungkan kemewahan, keselesaan dan aksesibiliti kepada penumpang.

“Buat masa ini, sebuah pesawat akan diterima pada Januari, manakala sebuah lagi pada Oktober. Dua pesawat baharu ini akan digunakan untuk mengendalikan operasi kami, dan pada masa hadapan kami mungkin menambah lagi pesawat sekiranya perluasan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rasmi Rangkaian Destinasi Baharu dan Pengenalan Pesawat Baharu Berjaya Air di sini hari ini.

Pada majlis itu, syarikat penerbangan tersebut turut memperkenalkan ATR 72-600 Highline Kelas Perniagaan pertama di dunia, menampilkan konfigurasi 26 tempat duduk kelas perniagaan yang direka khas untuk menawarkan pengalaman penerbangan premium pada harga berpatutan.

Pelancaran ini juga menandakan perluasan rangkaian serantau Berjaya Air, yang kini merangkumi destinasi utama di Thailand, Vietnam, Indonesia, serta beberapa lokasi terpilih dalam negara.

Sekali gus mengukuhkan komitmen Berjaya Air untuk memperkasa keterhubungan rantau sambil mentakrifkan semula pengalaman perjalanan udara penumpang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.