White House pertahan Trump panggil wartawan wanita ‘piggy’

WASHINGTON, 21 November – White House pada Khamis mempertahankan Presiden Donald Trump selepas beliau memanggil seorang wartawan wanita sebagai “piggy”, satu kenyataan yang dikritik ramai kerana dianggap merujuk kepada bentuk tubuh wartawan tersebut, ketika menyoal presiden itu mengenai pesalah seks Jeffrey Epstein yang telah meninggal dunia.

White House menyifatkan kenyataan itu sebagai sebahagian daripada sikap terus terang dan keterbukaan Trump.

Insiden itu berlaku dalam pesawat Air Force One minggu lalu dan menjadi tular selepas rakaman menunjukkan Trump menunduk ke arah wartawan berkenaan, mengangkat jarinya dan berkata, “Diam, piggy,” ketika beliau ditekan mengenai e-mel Epstein yang baru didedahkan, di mana tokoh kewangan New York itu mendakwa Trump “tahu mengenai gadis-gadis itu.”

Kritikan dalam talian menyebut penggunaan perkataan tersebut bukan sahaja bersifat menghina, malah membawa maksud menyindir rupa bentuk fizikal wartawan itu, sesuatu yang pemerhati media anggap tidak wajar daripada seorang presiden.

Ditanya mengenai insiden itu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata rakyat Amerika memilih semula Trump kerana sifat terus terangannya dan wartawan sepatutnya menghargai kesediaan beliau menjawab soalan.

“Beliau menyanggah laporan palsu apabila melihatnya dan memang mudah berasa kecewa dengan wartawan yang menyebarkan maklumat tidak tepat,” kata Leavitt dalam sidang media di White House tanpa mengemukakan bukti berkaitan dakwaan itu.

“Tetapi pada masa sama beliau menawarkan akses yang luas kepada media dan menjawab soalan hampir setiap hari.”

Pada Rabu, Trump menandatangani undang-undang mengarahkan Jabatan Kehakiman mendedahkan dokumen siasatan jangka panjang terhadap Epstein selepas sebelum ini enggan fail tersebut didedahkan kepada umum.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.