BANGKOK, 8 Disember -Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin, menurut tentera Thailand.
Serangan itu dilakukan selepas seorang anggota tentera Thai terbunuh dan lapan cedera selepas diserang tentera Kemboja berhampiran sempadan, menurut Jurucakap tentera Thai, Winthai Suvaree.
Tentera kedua-dua negara melaporkan satu pertempuran kecil pada Ahad yang mencederakan dua anggota tentera Thai.
“Kuasa udara Thailand hanya digunakan terhadap sasaran ketenteraan Kemboja bagi mengehadkan kerosakan dan menghentikan tembakan sokongan Kemboja yang menyebabkan korban di pihak Thai,” katanya.
Beliau menegaskan serangan udara itu “amat tepat” dan menyasarkan objektif ketenteraan sahaja tanpa menjejaskan orang awam.
Pertempuran selama lima hari antara kedua-dua negara pada musim panas lalu mengorbankan 43 orang dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan berpindah sebelum gencatan senjata dilaksanakan.
Namun bulan lalu, Thailand menggantung perjanjian susulan yang disokong Presiden AS Donald Trump untuk meredakan konflik, selepas satu letupan periuk api di sempadan mencederakan beberapa anggota tentera negara itu.
Sejak itu, pegawai Thailand dan Kemboja melaporkan insiden tembak-menembak secara sporadik, yang kembali memuncak pada Ahad dan Isnin, memaksa ribuan penduduk melarikan diri.
Seorang petani, Pannarat Woratham, dari wilayah Surin, Thailand, berkata ketua kampung mengarahkan penduduk berpindah.
“Melihat apa yang berlaku pada Julai lalu, saya terus patuh,” katanya, yang buat kali kedua melarikan diri sejak pertempuran besar meletus pada akhir Julai melibatkan jet pejuang, serangan peluru berpandu dan pertempuran darat.
Tentera Wilayah Kedua Thailand menyatakan kira-kira 35,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan berhampiran sempadan sejak pertempuran terbaharu bermula.
Di Kemboja, Menteri Penerangan Neth Pheaktra berkata sekurang-kurangnya 1,157 keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat di wilayah Oddar Meanchey.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, bagaimanapun menuduh Thailand menyerang pasukan Kemboja di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, termasuk menembak “berkali-kali dengan kereta kebal” ke arah kawasan berhampiran kuil Tamone Thom.
Beliau berkata Kemboja tidak membalas serangan itu.
Socheata turut mendakwa Thailand menyerang menggunakan jet F-16 sekitar 9 pagi, manakala tembakan Thailand di dua wilayah berkenaan mencederakan beberapa orang awam dan membakar rumah penduduk.
Seorang wartawan Kemboja turut cedera akibat serpihan roket Thailand di Oddar Meanchey, kata Neth Pheaktra.
Seorang anggota tentera Kemboja di Preah Vihear berkata tentera Thai terus melepaskan tembakan meriam ke wilayah Kemboja, namun enggan dikenali kerana tidak diberi kebenaran bercakap kepada media.
Di Oddar Meanchey, jurucakap pentadbiran wilayah, Met Measpheakdey, berkata tembakan turut dilaporkan berhampiran kuil purba Tamone Thom dan Ta Krabei.
Tentera Thai pula menuduh tentera Kemboja melancarkan roket BM-21 ke arah kawasan awam di wilayah Buri Ram, namun tiada kecederaan dilaporkan. – AFP