Tentera Laut Colombia rampas 4.5 tan kokain di Caribbean

COVENAS, 5 Disember -Tentera Laut Colombia merampas 4.5 tan kokain dalam satu operasi besar di perairan Caribbean, sekali gus menjejaskan rangkaian pengedaran dadah bernilai lebih AS$216 juta.

Rampasan dibuat kira-kira 80 batu nautika dari Teluk Morrosquillo selepas pasukan risikan mengesan sebuah bot laju yang dipercayai dalam perjalanan ke Honduras.

Bot tersebut berjaya ditahan, sebelum pihak berkuasa menemukan 180 bungkus kokain yang disembunyikan dalam ruang kargo.

Lima lelaki warga Colombia yang mengemudi bot berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Bot laju itu membawa 180 bungkus kokain hidroklorida. Ujian pengesahan menunjukkan semuanya positif.

Lima individu yang ditahan dikenal pasti warga Colombia,” kata Komander Angkatan Tentera Laut Caribbean, Laksamana Muda Carlos Hernando Oramas Maldonado.

Menurut pihak berkuasa, dadah itu dipercayai milik kumpulan jenayah Clan del Golfo, kartel terbesar yang aktif di Colombia.

Rampasan tersebut dianggarkan mampu menghalang lebih 11 juta dos kokain daripada sampai ke pasaran di rantau itu. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.