ODESA, 15 Disember – Penduduk Odesa masih mengalami gangguan bekalan elektrik untuk hari ketiga berturut-turut pada Isnin selepas serangan peluru berpandu dan dron Rusia melumpuhkan grid kuasa bandar itu pada Sabtu.
Menurut pengendali tenaga tempatan, DTEK, hampir semua infrastruktur kritikal telah dipulihkan sepanjang hari sebelumnya, namun banyak rumah masih tiada bekalan elektrik.
Setakat ini, kira-kira 185,000 orang di wilayah Odesa telah mendapat semula bekalan elektrik.
Polis meningkatkan ronda keselamatan di seluruh bandar bagi mengekalkan ketenteraman semasa pasukan pembaikan bekerja.
Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Moscow secara berterusan mensasarkan sistem tenaga negara itu, menyebabkan gangguan elektrik berjam-jam setiap hari di seluruh negara.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata pada Sabtu bahawa Rusia melancarkan lebih 450 dron dan 30 peluru berpandu dalam serangan ke atas negara itu.
Gabenor wilayah tempatan, Oleh Kiper menambah bahawa sekitar 300 sasaran udara pelbagai jenis telah dilancarkan ke wilayah Odesa sepanjang hujung minggu.
Serangan tersebut turut menyebabkan kawasan selatan Ukraine terputus bekalan elektrik, air dan pemanasan, menjejaskan kehidupan harian penduduk di wilayah terbabit. -REUTERS