Sekurang-kurangnya tiga maut dalam gempa di Bangladesh

DHAKA, 21 November – Gempa bumi kuat melanda Bangladesh pada Jumaat berhampiran ibu negara, Dhaka, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga individu dan mencederakan ramai lagi penduduk, menurut pegawai kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gempa kuat magnitud sekitar 5.5-5.7 melanda berhampiran Narsingdi, dekat Dhaka.
  • Sekurang-kurangnya tiga maut, termasuk seorang pelajar perubatan, dan ramai cedera.
  • Runtuhan bangunan lapan tingkat dilaporkan, mangsa terperangkap dan diselamatkan.
  • Kerajaan di bawah pemimpin interim Muhammad Yunus mengarahkan operasi kecemasan dan penilaian kerosakan.
  • Gegaran turut dirasai sehingga Kolkata, India, tetapi tiada laporan kecederaan besar di sana.

Gempa berukuran 5.5 magnitud itu berlaku pada pukul 10.38 pagi waktu tempatan berhampiran bandar Narsingdi, kira-kira 33 kilometer dari Dhaka, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Kejadian pada pagi Jumaat itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk negara itu yang masih berada di rumah sempena hari cuti mingguan.

Orang ramai menangis di jalanan, manakala sebahagian lagi kelihatan terkejut susulan kejadian itu. , Menurut Jabatan Kesihatan Bangladesh tiga mangsa terkorban termasuk seorang pelajar perubatan.

Seorang saksi mendakwa serpihan bangunan lapan tingkat di sebuah daerah di Dhaka jatuh ke atas jalan raya yang sibuk.

“Ramai orang sedang berkumpul di kedai daging ketika runtuhan itu berlaku. Saya melihat van membawa mangsa yang cedera,” kata Sakib Hossain, 50, yang bergegas keluar selepas mendengar dentuman kuat.

USGS memberi amaran tentang kemungkinan ‘kematian dan kerosakan besar’ susulan kejadian itu.

“Kerajaan sedang mengambil semua langkah perlu dengan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat,” kata pemimpin interim Muhammad Yunus dalam satu kenyataan.

Pasukan kecemasan sedang melakukan operasi menyelamat di kawasan terjejas selepas menerima laporan berhubung gempa bumi kuat melanda seluruh negara itu.

Menurut Jabatan Meteorologi Bangladesh gegaran dengan magnitud 5.7 berlaku kira-kira 26 saat dan berpusat di daerah Madhabdi, Narsingdi.

“Keadaan sedang dipantau rapi dan semua jabatan berkaitan telah diarahkan ke lapangan untuk menilai sebarang kerosakan,” kata Yunus.

Yunus, 85, penerima Hadiah Keamanan Nobel, dilantik selepas kebangkitan rakyat yang menumbangkan kerajaan pada Ogos 2024 untuk mengetuai negara itu sehingga pilihan raya yang dijadualkan pada Februari 2026.

Gegaran kuat turut dirasai hingga ke bandar Kolkata di India, lebih 325 kilometer dari pusat gempa. Orang ramai melarikan diri dari pejabat dan rumah selepas gegaran luar jangka itu.

“Saya rasa gegaran dan katil saya bergerak… saya terus lari keluar dari bilik,” kata Sumit Dutta, 66. Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kerosakan besar di India.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.