SHANGHAI, 21 November – Pemilik restoran Jepun di sini, Takashi Ito, kecewa selepas China kembali mengenakan larangan import makanan laut dari Jepun susulan ketegangan diplomatik antara Beijing dan Tokyo.
Ketegangan itu memuncak selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, serangan China ke atas Taiwan yang mengancam keselamatan Jepun boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan.
China membalas dengan tegas, termasuk mengembalikan sekatan produk laut Jepun, menggantung perjalanan ke Jepun dan membatalkan beberapa mesyuarat serta acara budaya.
“Insiden berkenaan memberi kesan ketara kepada perniagaan, dengan beberapa tempahan pelanggan tempatan turut dibatalkan. Pelanggan China biasanya merangkumi separuh tempahan restoran ini,” katanya.
China sebelum ini hanya mula melonggarkan sekatan yang dikenakan selepas Jepun melepaskan air sisa terawat dari loji Fukushima.
Namun, beberapa jenis ikan masih hanya boleh diperoleh dari Jepun dan beliau tidak menjangka akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat.
Pertikaian itu turut mencetuskan reaksi keras diplomatik sehingga Jepun menasihatkan rakyatnya di China supaya meningkatkan langkah keselamatan. -REUTERS