Pertempuran semula Kemboja-Thai masih berlanjutan

KEMBOJA, 14 Disember – Bangkok menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa gencatan senjata telah dipersetujui dengan Kemboja untuk menghentikan pertempuran semula itu yang memasuki minggu kedua.

Pemimpin Thailand menegaskan tiada sebarang perjanjian gencatan senjata dicapai, dan kedua-dua kerajaan memaklumkan bahawa pertempuran masih berterusan pada Ahad.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, berkata Kemboja telah menembak dan membom beberapa wilayah sempadan pada waktu malam.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata Thailand terus menembak mortar dan bom ke kawasan sempadan sejak tengah malam.

Sekurang-kurangnya 25 individu dilaporkan terkorban, termasuk 14 tentera Thailand dan 11 orang awam Kemboja.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai pencetus pertempuran, masing-masing mendakwa bertindak mempertahankan diri serta menuduh lawan melancarkan serangan terhadap orang awam.

Konflik Thailand-Kemboja berpunca daripada pertikaian sempadan sejak era kolonial sepanjang 800 kilometer antara kedua-dua negara itu telah menyebabkan kira-kira 800,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, menurut pegawai.

Menurut penduduk yang berada di kawasan sempadan Banteay Meanchey, Kemboja, Sean Leap, 63 tahun mendakwa masih berlaku serangan antara kedua-dua pihak hingga mengakibatkan kematian orang awam.

“Saya sudah berada di sini selama enam hari dan saya sedih kerana pertarungan masih berterusan. Saya mahu ia berhenti,” katanya.

Trump, yang sebelum ini menyokong gencatan senjata dan perjanjian susulan, berkata pada Jumaat bahawa kedua-dua negara Asia Tenggara itu telah bersetuju untuk menghentikan pertempuran semula.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.