NEW YORK, 4 Disember – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) menggesa agar kanak-kanak Ukraine yang dipindahkan secara paksa ke Rusia dibawa pulang serta-merta ke tanah air.
Draf resolusi mengenainya yang dirangka oleh Ukraine, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) diluluskan dengan undi 91 menyokong, 12 menentang termasuk Rusia dan 57 negara berkecuali.
Resolusi tidak mengikat itu antara lain menuntut agar Rusia memastikan semua kanak-kanak Ukraine yang dipindahkan atau diusir secara paksa dibawa pulang ke tanah air serta-merta, dengan selamat dan tanpa syarat.
Ia turut menyeru Moscow supaya menghentikan serta-merta sebarang amalan pemindahan paksa, pengusiran, pemisahan daripada keluarga dan penjaga sah serta perubahan status peribadi, termasuk melalui pemberian kewarganegaraan atau status anak angkat dan penempatan dalam keluarga angkat, serta indoktrinasi kanak-kanak Ukraine.
Ukraine mendakwa Rusia menculik sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak dari negara itu, sejak permulaan konflik pada Februari 2022.
Timbalan Menteri Luar Ukraine, Mariana Betsa menegaskan, Rusia bertanggungjawab atas operasi penculikan terbesar dalam sejarah negara itu.
Menurut beliau, setakat ini lebih 1,850 kanak-kanak telah ditemui dan dibawa pulang.
“Tidak akan ada keamanan yang adil di Ukraine, tanpa pemulangan segera dan tanpa syarat anak-anak kami ke tanah air,” kata Betsa.
Dakwaan Kiev itu dibidas Timbalan Utusan PBB ke Rusia, Maria Zabolotskaya yang mengecam resolusi tersebut sebagai penuh dengan tuduhan palsu.
Bagaimanapun beliau mengakui, beberapa kanak-kanak dibawa keluar dari zon pertempuran demi keselamatan mereka.
“Setiap undi menyokong resolusi ini merupakan sokongan terhadap penipuan, peperangan dan konfrontasi. Setiap undi menentangnya adalah undi untuk keamanan,” tegas Zabolotskaya.
Undian pada Perhimpunan Agung PBB itu diadakan ketika Amerika Syarikat yang menyokong resolusi tersebut berusaha mendapatkan persetujuan Rusia dan Ukraine terhadap rancangannya untuk menamatkan perang.
Namun, usaha untuk mencapai kata sepakat berulang kali menemui jalan buntu. -AFP