Lima lagi pejuang Palestin maut di selatan Gaza

BAITULMAQDIS, 21 November – Lima pejuang Palestin di selatan Gaza maut susulan serangan yang dilakukan tentera Israel pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima pejuang Palestin maut di selatan Gaza selepas serangan udara tentera Israel pada Jumaat.
  • Insiden berlaku berhampiran garisan kuning sempadan penarikan balik tentera di bawah gencatan senjata AS.
  • Tentera Israel menuduh kumpulan itu menghampiri anggota mereka sebelum menyerang.
  • Sebuah lagi penduduk terbunuh akibat tembakan berhampiran Khan Yunis dalam insiden berasingan.
  • Kementerian Kesihatan Gaza lapor 312 kematian akibat tembakan Israel sejak gencatan senjata bermula.

Kejadian berlaku selepas dua hari berturut-turut serangan udara yang mengorbankan ramai penduduk, dan dilaporkan berlaku di sebelah garisan kuning kawasan yang dikuasai Israel dan menjadi sempadan penarikan balik tenteranya bawah gencatan senjata Amerika Syarikat.

Tentera rejim Zionis menuduh kumpulan berkenaan menghampiri anggotanya sebelum diserang melalui serangan udara.

Sementara itu, sebuah hospital di Gaza memaklumkan bahawa seorang penduduk turut terbunuh akibat tembakan Israel dalam satu insiden berasingan berhampiran Khan Yunis, di kawasan yang tidak berada bawah kawalan tentera Israel.

Rabu lalu, Gaza terus diserang meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza, 27 individu terbunuh dalam serangan di seluruh wilayah berkenaan. Agensi itu turut melaporkan lima lagi kematian pada Khamis.

Israel terus melancarkan serangan berulang ke atas Palestin dengan alasan menyasarkan pejuang Hamas sepanjang tempoh gencatan. Selain itu, beberapa insiden maut melibatkan penduduk Palestin berlaku ketika menghampiri atau cuba melintasi garisan kuning.

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, seramai 312 penduduk Palestin telah dibunuh akibat tembakan Israel sejak gencatan senjata bermula.

Pada Isnin, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu meluluskan resolusi yang digubal Amerika Syarikat sebagai sokongan kepada pelan damai Gaza yang dibentangkan Presiden Donald Trump. Namun, Hamas menolak resolusi itu kerana tidak memenuhi tuntutan politik dan kemanusiaan rakyat Palestin.

Perang tercetus susulan serangan Israel ke atas Palestin pada 7 Oktober 2023. Serangan berkenaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 69,546 penduduk Palestin.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.