SYDNEY, 9 Disember -Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyampaikan mesej akhirnya kepada remaja negara itu menjelang penguatkuasaan larangan media sosial untuk pengguna bawah 16 tahun bermula tengah malam ini.
Selepas 10 Disember, platform seperti Facebook dan TikTok boleh dikenakan denda berat jika gagal menghalang pengguna Australia bawah umur daripada membuka atau mengekalkan akaun.
Dalam mesej videonya, Albanese menekankan bahawa langkah tersebut dibuat bagi melindungi remaja daripada tekanan algoritma dan budaya “scroll tanpa henti”.
“Mulai 10 Disember, jika anda berumur bawah 16 tahun, anda tidak lagi dibenarkan mempunyai akaun media sosial. Algoritma dan tekanan itu semua memberi kesan kepada anda.
Sebab itu kami ambil langkah ini untuk memberi perlindungan kepada anda,” katanya.
Beliau mengakui ramai remaja menyuarakan kebimbangan kehilangan hubungan dengan rakan.
Namun, tegas beliau, cuti sekolah yang semakin hampir adalah peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan bersama keluarga dan rakan-rakan secara bersemuka.
“Manfaatkan cuti sekolah. Cuba sukan baharu, pelajari alat muzik atau habiskan bacaan buku yang tertangguh.
Paling penting, luangkan masa berkualiti dengan rakan dan keluarga secara bersemuka,” ujarnya lagi.
Larangan tersebut menyaksikan syarikat media sosial boleh dikenakan denda sehingga A$49.5 juta jika gagal mengambil “langkah munasabah” untuk mematuhi undang-undang baharu itu. -REUTERS