Jepun tarik balik amaran tsunami

TOKYO, 9 Disember – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan, susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 yang melanda kawasan di utara dan timur laut Jepun pada Isnin.

Agensi berita Kyodo melaporkan, amaran tsunami itu ditarik balik pada awal pagi Selasa, namun JMA masih mengekalkan nasihat tsunami tahap rendah di beberapa bahagian di utara.

Gempa itu direkodkan pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak 80 kilometer dari pantai wilayah Aomori.

Gegaran mencetuskan panik dalam kalangan penduduk dan mengakibatkan banyak kawasan terputus bekalan elektrik.

“Kira-kira 2,700 buah rumah di Aomori tiada bekalan elektrik,” menurut laporan agensi berita Kyodo yang turut melaporkan beberapa insiden kebakaran.

Pihak berkuasa menjangkakan berlaku beberapa lagi gempa bumi kuat dalam tempoh beberapa hari akan datang dan menggesa orang ramai untuk kekal berjaga-jaga.

Dalam sidang media, pegawai JMA, Masashi Kiyomoto menasihati mereka yang berada berhampiran kawasan pantai terjejas di wilayah Hokkaido, Aomori dan Iwate agar berpindah ke kawasan tinggi dan kekal di kawasan berkenaan.

Sementara itu jurucakap Kerajaan, Minoru Kihara berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai situasi tidak normal di dua loji tenaga nuklear di utara Jepun, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan di loji nuklear lain.

Tohoku Electric Power menerusi hantaran di laman X pula memaklumkan, peralatan keselamatan di loji tenaga nuklear Higashidori di Aomori dan loji nuklear Onagawa di wilayah Miyagi juga tidak terjejas. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.