Jepun nafi dakwaan halang latihan pesawat pejuang China

TOKYO, 8 Disember -Jepun hari ini menolak dakwaan Beijing bahawa pesawat Pasukan Pertahanan Diri (SDF) telah mengganggu latihan penerbangan tentera China berhampiran Okinawa pada hujung minggu lalu.

Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara berkata, laporan China yang mendakwa pesawat Jepun mengancam keselamatan penerbangan adalah tidak berasas.

“Kami dimaklumkan pesawat SDF mengekalkan jarak selamat ketika menjalankan tugas menangani pencerobohan ruang udara.

Dakwaan China bahawa pesawat kami menjejaskan keselamatan penerbangan mereka adalah tidak berasas,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut Kihara, Jepun akan terus bertindak secara tenang tetapi tegas, serta meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti ketenteraan China di kawasan udara dan perairan sekitar Jepun.

Sementara itu, Perdana Menteri, Sanae Takaichi turut mengecam tindakan pesawat pejuang China yang didakwa mengunci radar ke arah pesawat Jepun.

“Radar lock-on itu tindakan berbahaya dan di luar batas keselamatan penerbangan.

Kami telah membuat bantahan keras kepada China dan menuntut supaya insiden sebegini tidak berulang,” katanya.

Insiden berlaku ketika kumpulan kapal induk China, Liaoning, melancarkan operasi udara intensif berhampiran kepulauan barat daya Jepun, sekali gus meningkatkan ketegangan hubungan kedua-dua negara.

Kedutaan China pula menafikan dakwaan Tokyo, sebaliknya, menuduh pesawat Jepun mendekati kapal induk mereka dan membahayakan keselamatan penerbangan.

Ketegangan ini muncul selepas Takaichi sebelum ini memberi amaran bahawa Jepun boleh bertindak sekiranya tindakan ketenteraan China terhadap Taiwan menjejaskan keselamatan negara itu. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.