Gempa bumi kuat gegar Jepun, cetus gelombang tsunami

TOKYO, 9 Disember – Gempa bumi kuat dengan magnitud 7.6 melanda kawasan di utara dan timur laut Jepun pada Isnin.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), pusat gempa terletak di luar pesisir wilayah Aomori pada latitud 41.0 darjah utara dan longitud 142.3 darjah timur.

Penduduk di kawasan pesisir telah diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, tanpa berlengah.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan, gempa berlaku pada pukul 11.15 malam (waktu tempatan) di luar pantai Misawa di pesisir Pasifik Jepun pada kedalaman 53 kilometer (33 batu).

Dua ombak tsunami setinggi 40 sentimeter direkodkan, masing-masing pada pukul 11:43 malam di kawasan pelabuhan wilayah Aomori dan 11:50 malam di bandar Urakawa di wilayah Hokkaido.

Penyiar awam NHK memetik seorang pekerja hotel di bandar Hachinohe di Aomori sebagai berkata, terdapat beberapa kecederaan.

Gegaran turut dirasai di pusat utara Sapporo dengan penggera berbunyi pada telefon pintar bagi memberi amaran kepada penduduk.

Seorang wartawan NHK di Hokkaido menggambarkan gegaran mendatar selama kira-kira 30 saat.

Amaran kecemasan masih berkuat kuasa.

Pihak berkuasa akan terus memantau gegaran susulan dan risiko tsunami dengan teliti.

Terdahulu, JMA mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan di pantai timur wilayah Aomori serta kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik, antaranya wilayah Hokkaido dan Iwate dengan jangkaan ombak setinggi tiga meter. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.