Dunia perlu realisasikan fasa kedua Pelan Damai Gaza

DOHA, 7 Disember – Kegagalan untuk memajukan pelan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS) ke peringkat seterusnya akan menjadi “kegagalan besar” bagi dunia dan Washington.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata satu pentadbiran awam Palestin yang kredibel serta pasukan polis terlatih perlu diwujudkan bagi membolehkan Hamas melucutkan senjata.

Menerusi temu bual bersama Reuters pada Forum Doha di Qatar, Fidan berkata Turkiye menegaskan bahawa pelaksanaan fasa kedua Pelan Damai Gaza adalah penting bagi memastikan kestabilan jangka panjang di wilayah itu.

Menurut Fidan, Ankara, sebagai penandatangan utama pelan damai tersebut, mahu melihat proses itu bergerak ke hadapan dengan penyerahan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknikal Palestin.

“Hamas bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknikal Palestin. Kita perlu melihat pasukan polis Palestin yang bukan dari Hamas mengambil alih keselamatan Gaza. Pelucutan senjata tidak boleh dilakukan sebelum langkah-langkah konkrit ini dimulakan,” katanya.

Fidan turut memberi amaran bahawa kegagalan komuniti antarabangsa untuk melaksanakan fasa kedua pelan damai itu akan membawa implikasi besar.

“Jika kita gagal melaksanakan fasa kedua dan membawa keamanan sebenar ke Gaza, ia akan menjadi kegagalan besar kepada sistem antarabangsa dan kepada AS, kerana Presiden Donald Trump sendiri mengetuai Pelan Damai Gaza ini,” katanya.

Mengulas mengenai tentangan Israel terhadap penglibatan Turkiye dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), Fidan berkata perbincangan masih berlangsung dan Washington sedang mendesak Israel agar menerima penyertaan Ankara.

“Pembentukan ISF memerlukan penyertaan sukarela negara-negara yang sanggup menghantar angkatan tentera. AS turut menekan Israel mengenai peranan Turkiye. Kami sudah menetapkan kesediaan untuk menyumbang, termasuk menghantar anggota tentera,” katanya.

Beliau menambah bahawa keselamatan dalaman Gaza sewajarnya ditangani oleh pasukan polis Palestin, manakala ISF hanya akan berperanan dalam latihan dan penyediaan kelengkapan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.