Dua maut, sembilan cedera susulan tembakan di Universiti Brown

PROVIDENCE, 14 Disember – Kejadian tembakan yang dilakukan seorang lelaki di Universiti Brown kampus di timur Amerika Syarikat pada Sabtu, menyebabkan dua kematian manakala sembilan lagi cedera.

Ketika ini universiti itu diletakkan dalam keadaan kawalan keselamatan penuh ketika ratusan anggota polis memburu suspek hingga lewat malam.

Jalan-jalan sekitar universiti di negeri Rhode Island dipenuhi kenderaan kecemasan beberapa jam selepas tembakan dilepaskan di sebuah bangunan yang ketika itu sedang berlangsung peperiksaan.

Insiden berkenaan merupakan kejadian terbaharu dalam siri serangan bersenjata di institusi pendidikan di Amerika Syarikat, ketika usaha memperketat kawalan senjata api terus berdepan kebuntuan politik.

Seorang saksi, Katie Sun, memberitahu akhbar pelajar Brown Daily Herald bahawa beliau sedang melakukan ulang kaji di sebuah bangunan berhampiran sebelum terdengar bunyi tembakan. Katie Sun kemudiannya melarikan diri ke asrama, meninggalkan semua barang peribadi.

“Ia benar-benar menakutkan. Bunyi tembakan seolah-olah datang dari kawasan bilik darjah,” katanya.

Enam jam selepas kejadian, suspek masih belum diberkas. Kira-kira 400 anggota polis termasuk ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan polis kampus dikerahkan untuk mengawal serta menjejaki suspek di sekitar kampus berkenaan.

Datuk Bandar Providence, Rhode Island, Brett Smiley, berkata dua individu disahkan maut, manakala lapan lagi berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Seorang lagi mangsa yang terkena serpihan peluru turut dikejarkan ke hospital, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera seramai sembilan orang.

Pihak polis turut mengeluarkan rakaman video berdurasi 10 saat yang memaparkan suspek berjalan pantas di sebuah jalan sunyi, dirakam dari arah belakang selepas melepaskan tembakan di dalam sebuah bilih kuliah di tingkat bawah.

Pihak pengurusan universiti menegaskan kampus mengenakan sekatan keluar masuk sehingga hampir tengah malam.

Presiden Universiti Brown, Christina Paxson, memaklumkan bahawa 10 daripada 11 mangsa merupakan pelajar universiti tersebut.

Sementara itu Senator Rhode Island, Sheldon Whitehouse, menerusi platform X meluahkan rasa dukacita susulan kejadian berkenaan.

“Saya amat berdukacita terhadap pelajar yang sepatutnya menantikan cuti perayaan, namun terpaksa berdepan satu lagi kejadian tembakan rambang yang mengerikan,” luahnya menerusi platform X.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.