Banjir kilat ragut 14 nyawa di Maghribi

RABAT, 15 Disember – Seramai 14 orang dilaporkan maut akibat banjir kilat susulan hujan lebat di bandar pesisir pantai Safi, Maghribi, pada Ahad.

Menurut pihak berkuasa tempatan, hujan lebat di wilayah Safi, kira-kira 300 kilometer di selatan ibu negara Rabat, mencetuskan banjir besar yang merosakkan kira-kira 70 rumah dan premis perniagaan di bandar berkenaan.

Kerosakan jalan raya di kawasan itu turut menyebabkan beberapa laluan utama dalam bandar tersebut terputus.

Sementara itu, pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa terlibat.

Jabatan meteorologi pula meramalkan hujan lebat berterusan pada Selasa di seluruh negara. –AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.