Banjir Indonesia: Kekurangan bantuan kritikal, gajah dikerah bantu kerja penyelamatan

JAKARTA, 8 Disember -Kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Indonesia terus berdepan kekurangan makanan serta bekalan perubatan.

Pasukan penyelamat kini bergelut membantu mangsa dan gajah turut dikerahkan pada Isnin untuk membersihkan runtuhan.

“Segalanya tidak mencukupi, terutama tenaga perubatan. Kami kekurangan doktor,” kata Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, kepada media lewat Ahad.

Di Pidie Jaya, salah satu kawasan paling teruk terjejas, empat ekor gajah dari pusat latihan berhampiran digunakan untuk mengalihkan serpihan besar dan membantu mengalihkan kenderaan yang terperangkap.

“Kami membawa empat ekor gajah untuk membersihkan runtuhan dari rumah-rumah yang dihanyutkan banjir,” kata ketua sebuah agensi konservasi tempatan, Hadi Sofyan, kepada AFP.

“Matlamat kami adalah membersihkan kawasan berhampiran rumah penduduk supaya mereka dapat kembali ke kediaman masing-masing,” katanya, menambah bahawa gajah-gajah itu akan digunakan sepanjang minggu ini.

Ribut tropika dan hujan monsun yang melanda Asia Tenggara dan Asia Selatan sejak awal bulan telah mencetuskan banjir kilat serta tanah runtuh dari hutan hujan Sumatra hingga ke kawasan tanah tinggi di Sri Lanka.

Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) melaporkan 961 mangsa maut di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, manakala 293 lagi dilaporkan hilang. Lebih sejuta penduduk terpaksa dipindahkan.

BNPB menganggarkan kos pemulihan boleh mencecah 51.82 trilion rupiah (AS$3.1 bilion). – AFP

Hey there! Ask me anything!