MINNA, 9 Disember – Kira-kira 100 kanak-kanak sekolah yang diculik dari sebuah sekolah Katolik di Nigeria pada bulan lalu telah diserahkan kepada pegawai negeri pada Isnin, sehari selepas dibebaskan.
Kesemua kanak-kanak berkenaan dibawa ke Bangunan Kerajaan Negeri Niger dengan menaiki beberapa buah bas dan diiringi 12 buah van tentera dan kenderaan berperisai.
Ketibaan mereka disambut oleh Gabenor Mohammed Umar Bago.
Kebanyakan mangsa yang dibebaskan berusia antara 10 hingga 17 tahun.
Sehingga kini, belum jelas siapa yang menculik kesemua pelajar itu dari sebuah sekolah berasrama di Kampung Papiri di Niger.
Puluhan daripada 315 pelajar dan kakitangan sekolah yang diculik masih hilang, manakala 50 yang lain berjaya melarikan diri sejurus selepas serangan. -AFP